Ramai diluar sana yang mengeluh kerana tidak mampu melantik peguam swasta untuk mewakili anda dimahkamah terutama isteri-isteri yang telah diceraikan. Kesulitan melantik peguam menjadikan kes lambat diselesaikan kerana untuk meneruskan kes memerlukan dokumen-dokumen yang lengkap mengikut tatacara undang-undang. Jadi adalah lebih baik melantik peguam mewakili anda untuk menguruskan kes dimahkamah agar kes berjalan dengan sempurna. 

Sekiranya anda tidak mampu untuk melantik peguam swasta, tahukah anda pihak kerajaan ada menyediakan khidmat bantuan guaman dengan hanya membayar RM2.00 sahaja melalui Jabatan Bantuan Guaman atau dikenali sebagai Biro Bantuan Guaman. Harap perkongsian ilmu ini dapat membantu anda. 



Apakah itu Jabatan Bantuan Guaman

Jabatan Bantuan Guaman (JBG) sebelum ini dikenali sebagai Biro Bantuan Guaman (BBG) ialah satu Jabatan Kerajaan dibawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri. Menyediakan khidmat nasihat dan bantuan guaman dalam prosiding tertentu di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di Malaysia. Khidmat Bantuan Guaman ini disediakan untuk mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan khidmat peguam swasta. 


Objektif Jabatan Bantuan Guaman

Memberi perkhidmatan bantuan dan nasihat guaman serta khidmat pengantaraan dan kesedaran undang-undang kepada mereka yang berkelayakkan dengan cekap, tepat dan berkesan.


4 Peranan dan Fungsi Jabatan Bantuan Guaman

1. Memberi nasihat dalam semua perkara undang-undang sivil dan syariah;

2. Mewakili atau menyediakan khidmat peguam dalam perbicaraan di mahkahmah-mahkamah di Malaysia (sivil dan syariah) yang termasuk di bawah bidangkuasanya;

3. Menjalankan proses pengantaraan bagi tujuan menyelesaikan pertikaian secara damai dan sukarela;

4. Memberi ceramah dan penerangan kepada orang awam tentang hak-hak mereka dibawah Akta Bantuan Guaman 1971.


Siapakah yang layak mendapat khidmat bantuan guaman.

1. Pemohon yang mempunyai pendapatan TIDAK MELEBIHI RM25,000.00 setahun. Pemohon layak mendapat khidmat bantuan guaman secara percuma dan hanya perlu membayar RM2.00 sebagai yuran pendaftaran;

2. Pemohon mempunyai pendapatan yang MELEBIHI RM25,000.00 setahun tetapi tidak melebihi RM30,000.00 setahunPemohon akan dikenakan bayaran sebanyak RM300.00 dan RM2.00 sebagai yuran pendaftaran.

Apakah bidang kuasa Jabatan Bantuan Guaman 

Bidangkuasa Jabatan Bantuan Guaman meliputi kes sivil dan syariah.

1. Kes kekeluargaan mahkamah sivil / Syariah

a. Tuntutan nafkah
b. Perubahan perintah nafkah
c. Menguatkuasa perintah nafkah
d. Tuntutan perceraian
e. Hak penjagaan anak / hadanah
f.  Harta sepencarian / harta perkahwinan
g. Tuntutan mutaah


2. Kes sivil

a. Pampasan pekerja
b. Penanaman padi
c. Harta pusaka kecil
d. Tuntutan kemalangan jalan raya
e. Pinjaman wang
f.  Sewa beli
g. Sewaan
h. Surat kuasa mentadbir
i.  Permohonan anak angkat
j.  Tuntutan pengguna



3. Kes Jenayah

a. Untuk memohon meringankan hukuman bagi mereka yang mengaku salah dalam semua jenayah di Mahkamah Sivil.

b. Prosiding jenayah dibawah Akta Kanak-Kanak 2001.

c. Prosiding jenayah dibawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 [Akt.336]


[Baca: Dari Kamar Syariah: MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR SEDIAKAN  KHIDMAT BANTUAN GUAMAN SYARIE PERCUMA UNTUK MASYARAKAT ISLAM SELANGOR]


Sekiranya kes diluar bidangkuasa JBG atau pendapatan melebihi had kelayakkan, pemohon masih boleh mendapatkan bantuan guaman

Sekiranya seseorang tidak layak mendapat bantuan guaman atau kes diluar bidangkuasa JBG, bantuan guaman masih boleh diberikan dengan kelulusan khas YB Menteri. 

Kebenaran khas Menteri hanya akan diberikan dalam kes yang sekiranya bantuan guaman tidak diberikan, ia akan mendatangkan kesusahan dan ketidakadilan kepada pemohon. 

Permohonan boleh dibuat melalui Ketua Pengarah Bantuan Guaman.


Bolehkah kedua-dua pihak mendapatkan bantuan guaman dari JBG sekiranya pihak satu lagi telah diwakili oleh JBG terlebih dahulu.

Kedua-dua pihak boleh mendapatkan bantuan guaman sekiranya layak. JBG tidak akan mewakili mana-mana pihak dalam prosiding tersebut. Sebaliknya JBG akan melantik panel peguam yang berdaftar dengan JBG bagi mengendalikan kes tersebut.


Tiada bayaran dikenakan kepada panel peguam yang dilantik

Bayaran perkhidmatan peguam panel akan ditanggung oleh pihak JBG. Anda tidak perlu gusar sekiranya panel peguam dilantik untuk mewakili anda pada prosiding yang ditetapkan.


Senarai maklumat dan dokumen yang diperlukan ketika mendapatkan khidmat JBG

  1. Kad Pengenalan
  2. Surat Nikah / Cerai asal
  3. Sijil Kelahiran anak
  4. Nama dan alamat
  5. Pekerjaan
  6. Perintah perceraian
  7. Laporan perubatan
  8. Laporan polis
  9. Nama majikan
  10. Saksi
  11. Penyata gaji
  12. Perakuan daripada majikan
  13. Pengesahan pemastautinan pihak yang menuntut
  14. Apa-apa dokumen berkaitan

Senarai Jabatan Bantuan Guaman setiap negeri







IBU PEJABAT JABATAN BANTUAN GUAMAN 
ARAS 1, BANGUNAN HAL EHWAL UNDANG-UNDANG PRESINT 3, 
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN 
62692 PUTRAJAYA 
NO. TELEFON : 03-88851000 
NO. FAKSIMILE: 03-88851829/1830/1831 
LAMAN WEB : www.jbg.gov.my 
SMS : Taip JBG MENU dan hantar ke 15888