Berita baik untuk wanita-wanita berstatus ibu tunggal yang sebelum ini menghadapi masalah untuk menuntut nafkah daripada bekas suami walaupun satu perintah berkenaan nafkah telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

Kini Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah melaksanakan Mahkamah Khas Nafkah untuk membantu wanita-wanita diluar sana untuk menuntut nafkah dari bekas suami.

Merujuk kepada kenyataan daripada Sinar harian, Mahkamah Rendah Syariah (Bahagian Nafkah) dilaksanakan bertujuan untuk memendekkan tempoh penyelesaian kes tuntutan nafkah daripada 14 bulan kepada 6 bulan yang mula beroperasi pada 3 September 2019.

Mahkamah khas ini mula beroperasi di Dewan Mahkamah Rendah Syariah (MRS) Wilayah Persekutuan. Pendaftaran kes pertama menggunakan kod pendaftaran kes mahkamah 14005. Yang Arif Tuan Abdullah Zuhdee Ab Halim adalah Hakim Syarie pertama yang diamanahkan untuk mengendalikan kes di dewan MRS (Bahagian Nafkah). - Pejabat Perdana Menteri

Perlaksanaan Mahkamah Khas Nafkah yang dikuatkuasakan ini adalah sebahagian daripada agenda utama kerajaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dan keadilan dapat diberikan sebaik mungkin kepada masyarakat. Ianya adalah salah satu agenda utama kerajaan bagi 'pemerkasaan' Mahkamah Syariah iaitu memastikan penyampaian perkhidmatan keadilan dapat diberikan sebaik mungkin kepada masyarakat.






Program Pengkhususan Pengendalian Kes Hadanah dan Nafkah berserta Pewujudan Bahagian Penguatkuasaan dan Perlaksanaan diwujudkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM) bersama Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) bagi membantu wanita-wanita yang bercerai untuk menuntut nafkah dari bekas suami.

Melalui program ini, satu fasa pasca bicara selepas perintah dikeluarkan juga diberikan penekanan iaitu selari dengan prinsip syariah yang digariskan didalam 'risalatul qada' bahawa tugas mahkamah syariah tidak terhenti setakat mengeluarkan perintah, bahkan perlu memastikan perintah tersebut dilaksanakan dengan sepenuhnya. - Jabatan Perdana Menteri

Pewujudan bahagian penguatkuasaan dan pelaksanaan bersama bailif yang sebelum ini tiada di MSWP telah direncana dengan baik. Dengan permulaan perlaksanaan program ini, dapat menjadi pencetus kepada usaha pemerkasaan mahkamah syariah di seluruh negara dan mendapat kerjasama dari semua pihak.

Selepas ini, bagi wanita-wanita yang mempunyai masalah untuk menuntut nafkah daripada bekas suami tidak perlu gusar dengan adanya perlaksanaan Mahkamah Khas Nafkah ini dan ianya juga tidak hanya tertakluk kepada permohonan untuk mendapatkan perintah nafkah bahkan mahkamah ini juga berkuasa mengambil tindakan sewajarnya kepada bekas suami yang culas membayar nafkah walaupun telah mendapat perintah mahkamah.

Masyarakat haruslah berterima kasih kepada Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM) yang berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk orang ramai. Perlaksanaan Mahkamah Khas Nafkah ini adalah salah satu penambahbaikkan institusi kehakiman syariah bagi mengangkat institusi ini di aras yang lebih tinggi. 






Sumber: Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM), Sinar Harian.