Assalammualaikum pembaca semua. Semoga semuanya didalam rahmat Allah. Topik kali ini Bonda ingin kongsikan berkenaan 'Siapakah yang layak menerima pencen terbitan sekiranya penjawat awam meninggal dunia'. Bonda pasti ramai yang masih didalam kesamaran berkenaan ini. Sebagai insan kita perlu tahu apakah yang berlaku disekeliling kita agar kita tidak sesat dijalanan.

Jika sebelum ini Bonda kongsikan tentang '7 Perkara Tentang Pencen Terbitan Penjawat Awam Perlu di Ketahui', maka sambungan itu Bonda kongsikan pula penerangan yang lebih mendalam tentang 'siapakah yang layak menerima pencen terbitan apabila seseorang penjawat awam meninggal dunia'. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat mencerahkan kemusykilan kita semua berkaitan dengan perkara ini.

Panduan ini bertujuan untuk memberi penerangan mengenai peruntukan faedah-faedah persaraan terbitan dan urusan permohonannya yang terdapat di bawah Undang-undang Pencen Sektor Awam Malaysia serta menjelaskan peranan dan tanggugjawab pihak-pihak yang terlibat dengan urusan berkaitan.  

Ianya juga bertujuan untuk menjelaskan syarat serta tatacara bagi memperolehinya.  Ganjaran Terbitan, Pencen Terbitan dan Pencen Tanggungan diberi kepada orang-orang tanggungan anggota yang mati dalam perkhidmatan dan yang mati dalam persaraan.




KEDUDUKAN DI BAWAH UNDANG-UNDANG PENCEN

Faedah Persaraan Terbitan di peruntukan dalam semua undang-undang pencen di Malaysia.  Kedudukan peruntukan tersebut dalam dua undang-undang pencen utama sektor awam adalah seperti berikut:
  • Ganjaran Terbitan diperuntukan di bawah Seksyen 14 Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Seksyen 15 Akta Pencen Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239)
  • Pencen Terbitan diperuntukan di bawah Seksyen 14 & 15 Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Seksyen 15 & 16 Akta Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239)
  • Pencen Tanggungan di peruntukan di bawah Seksyen 18 Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Seksyen 20 Akta Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239)


SIAPAKAH YANG LAYAK MENERIMA ?

Ganjaran Terbitan dan Pencen Terbitan
  • Balu atau duda kepada anggota Perkhidmatan Awam dan anggota Bdan-badan Berkanun dan Pihak-pihak Berkuasa Tempatan (BBKT) yang mati dalam perkhidmatan/selepas bersara
  • Duda kepada anggota Perkhidmatan Awam dan BBKT yang telah berkhidmat pada dan selepas 1.7.1980 dan mati dalam perkhidmatan/selepas bersara
  • Anak-anak gemulah yang masih dibawah umur 21 tahun dan belum berkahwin termasuk anak angkat, anak tiri dan anak tak sah taraf.  Anak-anak yang telah mencapai umur 21 tahun tetapi masih menuntut di Institusi Pendidikan Tinggi bagi mendapat diploma / ijazah pertama; dan
  • Anak-anak cacat otak atau anggota secara kekal dan tidak berupaya untuk menanggung nafkah sendiri..
  • Permohonan Faedah Terbitan Bagi Kematian Dalam perkhidmatan ( Anggota Parlimen /  AnggotaPentadbiran / Setiausaha Politik)

Ganjaran Terbitan Sahaja
  • Ibu kepada anggota bujang atau bapa (jika ibu meninggal dunia)
  • Wakil yang sah di sisi undang-undang
Pencen Tanggungan
  • Balu
  • Duda dalam tanggungan yang mengalami cacat otak atau hilang upaya jasmani secara kekal dan tiada upaya menanggung diri sendiri;
  • Anak, terhad kepada enam orang sahaja;
  • Ibu atau bapa (jika tiada ibu) -   Ibu atau bapa yang bergantung sepenuhnya atau sebahagian besar nafkah kepada gemulah.

TAFSIRAN ORANG-ORANG TANGGUNGAN

Balu / Duda
  • Mengikut peraturan 2, Peraturan-peraturan Pencen 1980,  balu atau duda ertinya isteri atau suaminya yang masih hidup kepada seseorang pegawai yang mati yang mana perkahwinannya diiktiraf di Malaysia sebagai satu perkahwinan yang sah di bawah mana-mana undang-undang bertulis, agama, adat atau kelaziman.
  • Bagi orang yang bukan beragama Islam, Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian 1976, menghendaki perkahwinan selepas 1.3.1982 di daftarkan di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian Jabatan Pendaftaran Negara.

Anak

Anak ertinya anak seorang pegawai atau pesara yang mati dan berumur dibawah 21 tahun dan masih belum berkahwin, iaitu:
  • Anak kandung
  • Anak tiri tanggungan
  • Anak tak sah taraf - anak yang lahir sebelum atau tanpa perkahwinan yang sah.
  • Anak angkat – anak yang di ambil sebagai anak angkat oleh pegawai itu di bawah mana-mana undang-undang bertulis berhubung dengan pengangkatan atau di bawah mana-mana adat atau kelaziman, dengan bukti memuaskan mengenai pengangkatan itu; dan
  • Anak cacat – iaitu seorang anak yang tidak kira apa jua umurnya dan yang cacat otak atau kehilangan upaya dari segi jasmani dan secara kekal sebelum anak itu mencapai umur 21 tahun.

BAGAIMANA MEMOHON APABILA BERLAKU KEMATIAN DALAM PERKHIDMATAN

Tindakan Oleh Balu / Duda / Waris

Jika berlaku kematian anggota Kerajaan dalam perkhidmatan, balu /duda / waris hendaklah mengambil tindakan berikut:
·         
  Laporkan segera kepada Ketua Jabatan di mana anggota berkhidmat, dan Kemukakan salinan dokumen-dokumen berikut:
    • salinan sijil kematian
    • salinan sijil perkahwinan / sijil pendaftaran perkahwinan.  Walau bagaimanapun Surat Akuan Balu / Duda Yang Sah boleh diterima jika sijil berkenaan tidak diperolehi salinannya dari pihak-pihak berkenaan.
    • salinan sijil kelahiran / salinan kad pengenalan anak-anak yang berumur di bawah 21 tahun
    • salinan surat pengambilan dan pengesahan anak angkat, (jika berkenaan)
    • dokumen-dokumen mengenai anak cacat dari Pakar Perubatan Kerajaan [Borang JPA.BP.UMUM.B04] dan Laporan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat serta gambar penuh anak cacat, (jika berkenaan)
    • sekeping gambar balu / duda (mana yang berkenaan)
    • Surat Akuan Pengesahan Penjaga [Borang JPA.BP.SPT.B02] (jika terdapat anak di bawah umur yang tidak di jaga oleh balu / duda).


Tindakan oleh Ketua Jabatan

Borang-borang yang perlu diisi dan dokumen yang kemukakan oleh Ketua Jabatan
  • Permohonan Pencen Tanggungan akibat kemalangan dalam perjalanan dan bencana
  • Permohonan Pencen Terbitan dan / Ganjaran Terbitan - Borang JPA.BP.SPT.B01a
  • Sijil Akuan Berhutang / Tidak Berhutang - Borang JPA.BP.UMUM.B01
  • Gambar berukuran pasport, tandatangan serta cop jari kedua-dua ibu jari penerima pencen.
  • Maklumat mengenai alamat, cara pembayaran yang di kehendaki, anak di bawah umur 21 tahun, pengakuan serta tandatangan dan cop ibu jari pemohon.
  • Maklumat mengenai opsyen yang di buat di bawah  Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pencen 1980.
  • Salinan kenyataan perkhidmatan dan kenyataan cuti gemulah yang kemas kini.
  • Surat penyelesaian cukai pendapatan
  • Laporan siasatan polis dan / keputusan ‘Inquest’ oleh mahkamah bagi kes kemalangan maut
  • Laporan sosio – ekonomi ibu /bapa/ (jika tiada ibu) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
  • Penyata KWSP 1036

Semoga perkongsian ini dapat meredakan kegundahan anda berkaitan isu pencen terbitan ini.

Sumber : Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)