Fenomena Gerhana Matahari Anulus dan Separa di Malaysia




Fenomena Gerhana Matahari Anulus dan Separa di Malaysia pada 26 Disember 2019 bersamaan 29 Rabiul Akhir 1441H.| Rakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan Gerhana Matahari Anulus (Cincin) dibeberapa lokasi di negeri Johor dan Sarawak. Manakala Gerhana Matahari Separa sekitar 70% - 93% dan berbentuk bulan sabit. Oleh itu umat Islam disunatkan untuk melakukan solat Kusuuf secara bersendirian ataupun berjemaah. [Baca: TATACARA SOLAT SUNAT KUSUUF (GERHANA MATAHARI)]






Sirah Gerhana Di Zaman Rasulullah SAW
Sirah tidak terlepas dari merekodkan peristiwa ini yang mana kisah mengenainya terdapat di dalam kitab-kitab hadith dan hadith-hadith yang membincangkannya bertaraf sahih. Al-Imam Muslim Rahimahullah merekodkan peristiwa ini di dalam kitab Sahihnya, sebuah hadith dari Abu Musa RA yang mana beliau berkata:

خَسَفَتِ الشَّمْسُ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَامَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُونَ السَّاعَةُ حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ فَقَامَ يُصَلِّي بِأَطْوَلِ قِيَامٍ وَرُكُوعٍ وَسُجُودٍ مَا رَأَيْتُهُ يَفْعَلُهُ فِي صَلاَةٍ قَطُّ ثُمَّ قَالَ ‏"‏ إِنَّ هَذِهِ الآيَاتِ الَّتِي يُرْسِلُ اللَّهُ لاَ تَكُونُ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُرْسِلُهَا يُخَوِّفُ بِهَا عِبَادَهُ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ ‏"‏ ‏.‏

Maksudnya: Telah berlaku gerhana matahari pada zaman Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam. Lalu baginda bangun dalam keadaan takut akan berlakunya hari Kiamat sehingga baginda tiba di masjid. Lalu baginda mendirikan solat yang paling panjang berdirinya, ruku'nya dan sujudnya yang pernah aku lihat Baginda lakukan di dalam solat. Kemudian Baginda berkata: Sesungguhnya ini adalah tanda-tanda yang Allah hantar. Ia tidaklah berlaku kerana kematian atau kehidupan seseorang. Akan tetapi Allah menghantarnya untuk menimbulkan rasa takut pada hambaNya. Apabila kalian lihat ia berlaku, segeralah mencari perlindungan dengan mengingati Allah, berdoa kepadaNya dan memohon keampunanNya.
Riwayat Muslim (912)

Al-Imam al-Nawawi Raahimahullah ketika mensyarahkan hadith di atas mengatakan bahawa gerhana berlaku bukanlah sebagai tanda hari akan kiamat, kerana tanda-tanda kiamat yang lain telah diketahui melalui hadith-hadith lain yang sahih seperti terbitnya matahari dari sebelah barat, keluarnya al-Daabbah dan juga dajjal. Namun, bangunnya Rasulullah SAW dalam keadaan takut dan mengerjakan solat yang panjang bacaan dan ruku’nya itu kerana takut ianya dari jenis hukuman yang Allah SWT turunkan sepertimana yang berlaku ketika mana bertiupnya angin dan jelas nampak di wajah Rasulullah SAW yang Baginda tidak menyukainya.
(Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/215-216)

Solat Sunat Gerhana Matahari

Di dalam Bahasa Arab, gerhana matahari disebut sebagai al-Kusuuf manakala gerhana bulan pula disebut sebagai al-Khusuuf. Dinamakan al-Kusuuf kerana tertutupnya cahaya matahari secara sebahagian atau sepenuhnya. (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, hlm. 234)
Solat sunat gerhana adalah sunat sunat yang dilakukan kerana bersebab, iaitu berlakunya fenomena gerhana. Maka umat Islam keluar untuk menunaikan solat dan berdoa untuk menolak bala secara umumnya dan solatnya juga berlainan sedikit daripada solat-solat yang lain.
Pensyariatan solat sunat gerhana berlaku pada tahun kedua selepas hijrah yang mana bertepatan ketika meninggalnya Ibrahim, putera Rasulullah SAW. Ketika zaman jahiliyyah, gerhana matahari ataupun bulan dikaitkan dengan kepercayaan khurafat di mana kematian seseorang ada kaitannya dengan gerhana. Inilah yang dipercayai oleh golongan jahiliyyah di mana matinya putera Rasulullah SAW, Ibrahim adalah disebabkan oleh gerhana.
Asal pensyariatannya berdasarkan firman Allah SWT:
وَمِنۡ ءَايَٰتِهِ ٱلَّيۡلُ وَٱلنَّهَارُ وَٱلشَّمۡسُ وَٱلۡقَمَرُۚ لَا تَسۡجُدُواْ لِلشَّمۡسِ وَلَا لِلۡقَمَرِ وَٱسۡجُدُواْۤ لِلَّهِۤ ٱلَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ ٣٧
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah. 
            (Fussilat: 37)

Larangan sujud kepada matahari dan bulan

Larangan sujud kepada matahari dan bulan terdapat di dalam ayat di atas manakala suruhan untuk sujud kepada Allah sebagai penciptanya dijelaskan melalui hadith yang menceritakan tentang fenomena gerhana yang disebutkan sebelum ini.
Hukum menunaikan solat sunat gerhana ini adalah sunat mu’akkad (sunat yang sangat dituntut) dan ianya disunatkan ke atas lelaki, wanita dan orang yang sedang bermusafir. Disunatkan juga untuk dilakukan bersendirian dan berjemaah sepertimana sabit di dalam sunnah Nabi SAW. (Lihat Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/568)
Tidak disunatkan untuk azan bagi memanggil orang ramai untuk menunaikan solat sunat gerhana. Cukup hanya dengan melaungkan: الصَّلَاةُ الجَامِعَةُ  (al-Solah al-Jami’ah). Ini sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dari Abdullah bin ‘Amru R.Anhuma:
لَمَّا كَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نُودِيَ إِنَّ الصَّلاَةَ جَامِعَةٌ
Maksudnya: Ketika berlakunya gerhana matahari pada zaman Rasulullah SAW pengumuman telah dibuat untuk menunaikan solat jama’ah.
Riwayat Al-Bukhari (1045)

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Terima kasih kerana membaca. Anda dialu-alukan untuk tinggalkan komen dan kongsikan artikel ini untuk perkongsian ilmu. Jemput klik >>disini<< untuk follow Blog Bonda Chanteq.

No comments

Powered by Blogger.