Plaintif: ialah pihak yang menuntut dalam kes sivil, terutama bagi kes writ saman.

Defendan: ialah pihak atau orang yang kena tuntut daripada pihak plaintif dalam kes sivil.

Pemohon: juga seperti plaintif, ialah pihak yang memohon dalam kes-kes melibatkan saman pemula atau permohonan sivil, seperti semakan kehakiman.

Responden: sama seperti defendan, tetapi ini dalam kes saman pemula atau permohonan sivil.

Writ: ialah salah satu mode atau kaedah bagi memulakan tindakan sivil di Mahkamah iaitu saman yang difailkan oleh plaintif di Mahkamah dan akan diserahkan kepada defendan setelah ia dimeterai dan ditandatangani oleh Pendaftar Mahkamah. Ia akan disertakan sekali dengan penyata tuntutan. Kebiasaannya tindakan melalui writ ini melibatkan pertikaian fakta yang memerlukan campurtangan Mahkamah untuk membicarakan atau memutuskan kes berkenaan.

Saman pemula: juga disebut sebagai Originating Summons. Ia juga salah satu mode atau kaedah untuk memulakan tindakan di Mahkamah selain writ, iaitu ia difailkan di Mahkamah yang disertakan sekali dengan afidavit (lihat di bawah untuk maksud afidavit). Kebiasaannya tindakan melalui saman pemula ini bersifat straight forward atau pertikaian terhadap undang-undang dan boleh diselesaikan melalui afidavit dan hujahan peguam sahaja.

Penyata tuntutan: ialah pernyataan fakta atau butir-butir yang menyebabkan plaintif membuat tuntutan. Di sinilah defendan akan mengetahui apakah jenis tuntutan yang dibuat oleh plaintif dan fakta-fakta yang dinyatakan menjadi penyebab kepada tuntutan itu.

Afidavit: ialah akuan bersumpah yang difailkan di mahkamah. Ia terdiri daripada afidavit serahan, afidavit sokongan, afidavit menentang dan afidavit balasan. Ia akan ditandatangani oleh pihak yang membuat akuan (juga disebut sebagai deponen) di hadapan Pesuruhjaya Sumpah atau Hakim atau Majistret. Dan afidavit ini biasanya akan diikuti dengan sijil perakuan eksibit dan eksibit-eksibit berkaitan.

Proof of service atau akuan serahan: ini ialah perakuan yang perlu dibuat oleh pihak yang diserahkan sebarang dokumen mahkamah seperti writ, notis permohonan dan sebagainya sebagai bukti akuan serahan dan penerimaan oleh pihak berkenaan.

Penyata pembelaan: ialah butir-butir atau penyataan fakta daripada pihak defendan. Ia bagi menjawab segala fakta yang dikemukakan oleh plaintif dalam penyata tuntutannya. Ia perlu difailkan di mahkamah dalam tempoh tertentu dan diserahkan sesalinan kepada pihak plaintif.

Penyata balasan: ini ialah penyataan balas daripada pihak plaintif setelah menerima penyata pembelaan daripada defendan. Kadangkala plaintif tidak akan membuat penyata balas apabila berpuas hati bahawa defendan tidak mempunyai pembelaan yang baik.

Pliding: ia adalah dokumen-dokumen yang disebutkan di atas iaitu writ dan penyata tuntutan, penyata pembelaan dan penyata balas. Berdasarkan pliding inilah jatuh dan bangunnya sesuatu kes sivil itu dan pihak-pihak perlu berdiri teguh atas pliding yang difailkan dan diserahkan. Sebarang ketidakpatuhan kepada pliding akan menyebabkan kekalahan kepada kes tersebut. Sebab itu pliding adalah sangat penting semasa proses mendraf dan sebelum difailkan di mahkamah.

Mediasi: ialah salah satu proses bagi penyelesaian pertikaian alternatif atau alternative dispute resolution. Pihak-pihak yang dalam pertikaian boleh memohon kepada Mahkamah untuk merujuk masalah atau pertikaian mereka kepada seorang mediator yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Pada masa kini Mahkamah juga mengambil langkah proaktif dengan mengadakan mediasi di hadapan pegawai-pegawai kehakiman sebagai mediator. Langkah ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kewangan, malah ia akan mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak tanpa perlu melalui proses perbicaraan yang rumit dan panjang serta memakan kos yang tinggi. Malah jika ia adalah Court led mediation atau mediasi di hadapan pegawai kehakiman, ia adalah percuma.



Terima kasih kerana membaca. Anda dialu-alukan untuk tinggalkan komen dan kongsikan artikel ini untuk perkongsian ilmu. Jemput klik >>disini<< untuk follow Blog Bonda Chanteq.