Fahami Ciri-Ciri Skim Cepat Kaya Di Malaysia Agar Anda Tidak Tertipu | Pagi-pagi lagi dalam perjalanan ke pejabat topik Skim Cepat Kaya menjadi bualan hangat Bonda bersama abang nombor dua. Sambil memandu dan meredah kesesakkan jalanraya kota kosmopolitan Kuala Lumpur, sambil itulah kami membincangkan tentang Modus Operandi  atau Ciri-ciri Skim Cepat Kaya Di Malaysia. 

Semakin lama skim cepat kaya ni berleluasa di negara kita. Skim cepat kaya bukan perkara baru di Malaysia dan ia mula dikesan memperdaya orang ramai sejak tahun 70-an lagi dengan skim pertama dikenali sebagai Pak Man Telo. Selepas lebih 40 tahun, skim seumpama ini masih terus berkembang pesat, dengan modus operandi yang diberi suntikan baru namun, masih mencapai tujuan sama iaitu menipu wang orang ramai.


Skim Pak Man Telo

Abang : "Dik ingat lagi tak skim cepat kaya Pak Man Telo  yang popular masa kita kecil dulu"

Bonda : "Ingat. Mana boleh lupa. Itulah skim pelaburan pertama kat Malayisia ni yang menipu ramai orang. Walaupun adik kecil lagi tapi adik ingat kawan ayahpun ada kena tipu masuk skim pelaburan tu".

Abang : "Tak fahamlah kenapa ramai yang terpedaya?".

Bonda: "Sebab nak kaya cara mudah dan cepat. Si penipu pula mengambil peluang dan kesempatan untuk memperdaya. Bila ada peluang tak tunggu lagi. Lebih ramai yang nak jadi kaya dengan mudah, lebih banyak peluang terbuka. Gunakanlah sebaik mungkin".



Skim Cepat Kaya 

Yaa skim cepat kaya. Siapa yang lahir tahun 70'an dan sebelumnya dan lalui kehidupan era 1980'an pasti kenal sangat dengan "Skim Pak Man Telo". Skim pelaburan pertama di Malaysia yang berjaya menipu ribuan orang ramai dan mengaut keuntungan jutaan ringgit. Jika tidak percaya, cubalah tanya dengan ibu ayah anda yang lalui zaman itu.

Tetapi sekarang, pelaburan seperti "Skim Pak Man Telo" ini sudah ada pelbagai nama yang lebih canggih dan berjaya mengaburi mata masyarakat yang kononnya ianya adalah sebuah perlaburan yang diiktiraf di Malaysia, walhal ianya dibangunkan semata-mata untuk menipu duit orang ramai.



Apa itu Skim Cepat Kaya
Skim Cepat Kaya satu bentuk pelaburan yang menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil dan bebas dari sebarang risiko yang tidak berdaftar dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Securiti, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna atau pihak-pihak berkuasa lain - MOE

Ianya adalah satu skim di mana sejumlah wang akan didepositkan atau dilaburkan kepada penganjur dengan janji dan syarat bahawa wang deposit tersebut akan dipulangkan kembali dengan faedah atau keuntungan yang dijanjikan selalunya lebih tinggi. 




Ciri-ciri Skim Cepat Kaya

Ciri 1: Menjanjikan keuntungan yang tetap setiap bulan
  • Tidak ada mana-mana pelaburan yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia menjanjikan keuntungan yang tetap setiap bulan. 
  • Contoh paling mudah untuk anda fahami adalah, interest atau dividen dalam akaun simpanan anda akan berubah setiap bulan. Jadi mana mungkin sebuah syarikat menjanjikan pulangan keuntungan yang tetap setiap bulan? Kebiasaannya institusi kewangan memberikan keuntungan setelah setahun simpanan seperti ASB.

Ciri 2: Menggesa anda mencari pelabur baru

  • Kebiasaannya pihak pelabur akan menggesa anda mencari ahli baru sebagai downline untuk menjadi pelabur baru. Tujuannya adalah untuk membuat pusingan modal.


Ciri 3: Pelaburan tidak berisiko
  • Setiap pelaburan pasti ada risiko yang akan ditanggung oleh pendeposit. 'High risk, high return. Low risk, low return". Dividen simpanan ASB atau tabung haji juga tidak tetap setiap tahun.

Ciri 4: Pulangan hingga 50% - 100%
  • Kebiasaannya perlaburan skim cepat kaya ini menjanjikan kadar keuntungan yang berlipat kali ganda dan tidak munasabah dari jumlah perlaburan.

Ciri 5: Sentiasa pamerkan wakil syarikat seorang jutawan
  • Jangan mudah terpedaya dengan penampilan individu yang menawarkan skim perlaburan seperti ini. Cari tahu serba sedikit tentang ilmu perlaburan.

Ciri 6: Perlaburan tanpa perlu menjual produk
  • Kebiasaannya skim cepat kaya ini tidak memerlukan anda menjual produk. Jika adapun produk yang anda terima hanya ketika proses pendaftaran bagi mengaburkan mata anda.
  • Selebihnya anda hanya duduk dan tunggu keuntungan datang bergolek masuk ke akaun anda.




Hanya syarikat berdaftar dengan Bank Negara sahaja layak menjalankan aktiviti perlaburan.
  • Ketahuilah pembaca sekalian, usahlah terpedaya dengan syarikat-syarikat multilevel yang menawarkan ganjaran-ganjaran hebat dengan meletakkan wang sejumlah yang kecil tetapi mendapat pulangan yang besar.
  • Untuk pengetahuan anda semua hanya syarikat berdaftar dengan Bank Negara dan mempunyai lesen sahaja dibenarkan mengutip, mengambil, menyimpan dan melaburkan wang orang ramai. Selain dari itu, syarikat-syarikat yang ada menawarkan pelaburan tidak sah disisi undang-undang.


Modus Operandi Skim Cepat Kaya

Kenali modus operandi skim cepat kaya agar anda tidak terpedaya dan tertipu oleh manusia yang rakus mengaut keuntungan dengan mudah. 
  1. Kawan lama mengajak anda berjumpa.
  2. Modal melalui pinjaman. 
  3. Memberikan tawaran yang tidak masuk akal.
  4. Tidak jual produk hanya 'recruit' downline.
  5. Peraduan Gores dan Menang.
  6. Modal dilabur masuk akaun personal.




4 tips bagaimana nak elak skim cepat kaya ini ;
1. Elakkan melabur didalam skim yang menjanjikan pulangan tetap setiap bulan.
2. Elakkan melabur sekiranya keuntungan yang dijanjikan tidak munasabah.
3. Elakkan melabur dengan syarikat persendirian.
4. Elakkan melabur sekiranya diminta melakukan pinjaman sebagai modal.

Kesimpulannya janganlah terlibat didalam skim cepat kaya yang hanya menjanjikan kekayaan di awangan. Tiada kekayaan yang datang bergolek tanpa usaha tulang empat kerat anda. Semoga perkongsian ini memberikan sedikit pengetahuan dan ilmu kepada anda agar dapat mengenal pasti ciri-ciri skim cepat kaya ini.













Terima kasih kerana membaca. Anda dialu-alukan untuk tinggalkan komen dan kongsikan artikel ini untuk perkongsian ilmu. Jemput klik >>disini<< untuk follow Blog Bonda Chanteq.