Header Ads

Rawatan 'DENTAL BRIDGE' Di Klinik Pergigian UiTM Sg Buloh



Rawatan 'Dental BRIDGE' Di Klinik Pergigian UiTM Sg Buloh | Belum habis sambungan entry tentang anakanda yang dalam rawatan pergigian di UiTM Sg Buloh untuk pemakaian bracesnya [Baca: Luqman Kongsi Pengalaman Pakai Braces Di Klinik Pergigian Uitm Sg Buloh - Part 1], Bonda pula menyambung rawatan disini. Rawatan-rawatan disini mempunyai beberapa peringkat.

Entry kali ni Bonda kongsikan serba sedikit peringkat awal untuk pemakaian 'Dental Bridge' atau jambatan pergigian. Haaa kenapa dipanggil jambatan pergigian pula ni? Apa yang menjadikan ianya 'jambatan gigi?' Bunyi macam pelik sahaja bila gigi pula dipasangkan jambatan. Untuk apa pula jambatan itu dibuat? Mengapa perlu jambatan pula pada gigi? Semua persoalan ini akan Bonda kupaskan di dalam entry ini. 


Diusia yang semakin meningkat, gigi pun sudah banyak yang luruh. Itu lumrah alam. Apabila gigi telah dicabut kerana masalah berlubang ataupun kerana akar yang telah rosak, apakah pilihan yang kita ada untuk menggantikan gigi yang telah hilang? Satu-satu gigi kekal yang telah dicabut tidak mungkin akan tumbuh kembali.

Rawatan ini Bonda lakukan bukan sahaja kerana kosmetik semata-mata dimana apabila mengukir senyuman, jelas kelihatan gigi yang rongak. Adakalah rasa segan apabila melihat gambar sendiri. Tetapi itu bukan sebab utama Bonda lakukan rawatan Dental Bridge ini. Bonda kehilangan beberapa batang gigi geraham atas dan bawah yang menyukarkan untuk Bonda mengunyah makanan.





Alatan yang digunakan untuk memeriksa gigi Bonda. Alat ini juga digunakan untuk mengukur kedalaman 'pocket' gusi untuk memastikan Bonda mempunyai masalah gusi atau tidak.


Pilihan untuk menggantikan gigi yang hilang


Beberapa pilihan dicadangkan oleh doktor pergigian untuk menggantikan gigi Bonda yang hilang. 


1. Gigi Palsu

2. Implan Gigi
3. Dental Bridge
4. Crown Gigi


Untuk kes Bonda ini, Bonda memilih untuk mendapatkan rawatan 'Dental Bridge' berbanding rawatan penggantian gigi hilang yang lain. Ianya juga mengambil kira keselesaan tuan badan dalam memakainya. Antara sebab lain adalah faktor kos yang melibatkan penggantian gigi yang hilang. Untuk Dental Bridge ini, kos yang ditawarkan kepada Bonda amat berpatutan. Kos keseluruhan rawatan akan Bonda kongsikan dalam entry yang akan datang. 



Peringkat rawatan


Oh ya sebelum pergi lebih jauh lagi, rawatan Bonda ini dilakukan oleh pelajar tahun 5 Ijazah Sarjana Muda Pergigian adik Safwan. Adik Safwan ini terpilih untuk merawat Bonda yang kiranya mempunyai kes sensitive yang jarang-jarang dijumpai.


Mengapa pula Pelajar yang merawat dan bukannya doktor sebenar? Di klinik pergigian UiTM ini, kesemua pelajar pergigian wajib menjalani latihan amali sebelum mereka bergraduat. Maka ini adalah salah satu caranya pelajar-pelajar ini menjalani latihan amali dengan merawat pesakit secara langsung disamping pembelajaran secara teori. 


Disamping itu, sekiranya dirawat oleh pelajar tahun akhir ini, kos rawatan adalah lebih murah berbanding dirawat oleh pensyarah pergigian iaitu doktor pakar pergigian. Tetapi anda jangan risau, walaupun mereka adalah pelajar yang bakal jadi doktor pergigian, tugasan mereka dipantau oleh pensyarah-pensyarah yang sememangnya doktor pakar di fakulti pergigian tersebut.



Rawatan Permulaan

Jom baca apakah rawatan permulaan yang perlu Bonda jalani. Adik Safwan melakukan pemeriksaan terhadap keseluruhan gigi Bonda sebelum mempersembahkan laporan kepada pensyarah beliau. Setelah pemeriksaan secara rawak dilakukan, Bonda dikehendaki untuk melakukan x-ray bagi memastikan kedudukan gigi yang ada dan juga ruang gigi yang telah dicabut.


Inilah alatan x-ray yang perlu dilakukan. Satu 'plate' dimasukkan kedalam mulut yang diletakkan disisi gigi dan digigit untuk menghasilkan imbaran yang sempurna. X-ray ini dilakukan ke dua-dua belah bahagian gigi kiri dan kanan kerana keduanya perlu rawatan Dental Bridges.





Ini adalah hasil x-ray gigi Bonda. Terdapat ruang gigi yang kosong akibat gigi yang dicabut. Ini menyebabkan kesukaran untuk Bonda menguyah makanan. Jadi solusi yang diberikan oleh doktor pergigian Bonda, untuk memasang Dental Bridges.

[Baca: Cabut Gigi? Antara Trauma, Takut Atau Berani? Jom Ikuti Kisah Bonda Chanteq Cabut Gigi Di Klinik Pergigian UiTM Sg Buloh]



Apakah yang dimaksudkan dengan Dental Bridge (Jambatan Pergigian)

Ia merupakan sejenis prostesis yang digunakan untuk menggantikan satu atau lebih gigi yang hilang dengan menyambungkan gigi-gigi palsu dengan gigi-gigi bersebelahan atau pun implan. Implan pergigian merupakan pilihan yang utama dalam rawatan untuk menggantikan gigi yang hilang di negara-negara maju (jambatan pergigian yang dipegang oleh implan pergigian sepenuhnya). Walau bagaimana pun, jambatan pergigian yang disokong oleh gigi tetap digunakan dengan meluas di serata dunia kerana kosnya yang lebih murah.


A dental bridge is a false tooth (called a pontic) that is held in place by the abutment teeth on either side of the gap. Although pontics can be made from a variety of materials such as gold, typically they're made from porcelain to aesthetically blend in with your natural teeth.


Komponen asas Dental Bridge

  • Pemegang (retainer)
    Komponen pemegang merupakan dua unit korona yang disimen pada gigi-gigi yang terletak di kedua belah sisi kawasan gigi yang hilang sebagai penyokong struktur jejambat tersebut.
  • Pontik (pontic)
    Gigi palsu yang memenuhi ruang gigi yang hilang itu dikenali sebagai pontik. Bergantung kepada bilangan gigi yang hilang serta situasi klinikal, bilangannya boleh jadi satu atau lebih. Pontik bersambung secara tetap dengan komponen pemegang. 


Ilustrasi Dental Bridge yang bakal Bonda lalui beberapa bulan lagi. 


Seperti gambar diatas, pemakaian Dental Bridge pada Bonda akan dibuat pada tiga tempat berasingan. Satu jambatan pergigian dibahagian gigi kanan sebelah atas, dua jambatan di kiri dan kanan gigi dibahagian bawah.

Jika dilihat ilustrasi diatas, gigi yang akan menjadi tiang pemegang gigi akan di potong untuk dikecilkan dan akan disarung dengan gigi palsu yang dipanggil 'CROWN' dan akan bersambung untuk tiga gigi yang menyerupai satu baris gigi. Crown ini akan dilekatkan kepada gigi asli yang sedia ada.




Boleh tonton video dibawah untuk lebih jelas tentang rawatan Dental Bridge 


Credit Video: Klinik Pergigian Dental Kini Taman Melawati










Untuk keterangan lanjut sila hubungi
Faculty of Dentistry
UiTM Sungai Buloh Campus
Jalan Hospital
47000 Sungai Buloh
Selangor Darul Ehsan
Tel: +603 6126 (ext : 6100/6653/6671/6108)


Gambar: Google

No comments

Powered by Blogger.