Fahami Apa Itu Kemurungan (DEPRESSION)




AKHIR-akhir ini terdapat banyak liputan dibuat terhadap kesihatan mental serta penyakit mental di media sosial dan media massa. Ini merupakan satu perkembangan yang positif di mana kesihatan mental telah mula mendapat perhatian ramai berbanding dahulu.


Apa itu kemurungan?

Kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa 2 minggu. Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.

Kemurungan yang didiagnosis secara klinikal, bukanlah perasaan sedih yang biasa. Ia merupakan penyakit perubatan yang melibatkan perasaan sedih yang berpanjangan serta menjejaskan fungsi harian seseorang individu.

Di antara penyakit mental yang paling banyak diperkatakan ialah kemurungan atau dalam terma perubatan dikenali sebagai "Major Depressive Disorder (MDD)".

Jikalau anda nak tahu, penyakit kemurungan telah dikenal pasti oleh WHO sebagai penyakit keempat terbesar yang menyumbang kepada penyakit global (global disability) yang dialami oleh manusia di seluruh dunia pada ketika ini.

Ia diramalkan ia akan menjadi antara penyebab utama masalah kesihatan di negara-negara membangun menjelang tahun 2020 selepas penyakit jantung.

Maka, tidak hairanlah makin kerap kita mendengar tentang mereka yang mengalami kemurungan, malah mungkin juga mengenali seseorang yang mempunyai penyakit ini.

Kajian epidemiologi melaporkan bahawa peluang bagi seseorang untuk menghidapi penyakit kemurungan sepanjang tempoh kehidupannya adalah sebanyak 11 hingga 15 peratus.

Di Malaysia ketika ini, kadar penyakit ini adalah sebanyak dua peratus dalam kalangan masyarakat. Ia adalah dua kali lebih tinggi dalam kalangan wanita berbanding lelaki.


Penyakit kemurungan adalah berbeza dari kesedihan biasa. 

Adalah normal jika kita berasa sedih apabila berhadapan dengan insiden yang negatif atau menyedihkan. Tetapi ia tidak berpanjangan dan kita masih dapat melakukan tugas harian seperti biasa.

Walau bagaimanapun, jika didapati bahawa perasaan sedih itu berterusan dan mula menjejaskan fungsi harian, maka ia perlu diberi perhatian.



Bagaimana proses diagnosis dilakukan?

Diagnosis penyakit ini melibatkan penilaian secara temu bual antara pegawai perubatan atau pakar psikiatri dengan pesakit.

Diagnosis ini berpandukan kriteria yang ditetapkan dalam Diagnostic Statistical Manual 5th edition (DSM-V) oleh American Psychiatric Association (APA).

Maka, bukanlah mudah untuk kita terus melabelkan seseorang itu mengalami kemurungan kerana ia perlu memenuhi kriteria tertentu.

Proses diagnosis boleh dilakukan sama ada di klinik psikiatri atau pun di dalam wad bergantung kepada keadaan pesakit.

Selain daripada mendapatkan sejarah dari pesakit, ahli keluarga turut ditemu bual bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai gejala serta kesan gejala tersebut terhadap individu.

Pemeriksaan fizikal serta ujian darah tertentu juga turut dijalankan bagi memastikan bahawa gejala tersebut bukanlah disebabkan oleh penyakit fizikal.

Pesakit biasanya dirujuk dari klinik kesihatan atau swasta, jabatan kecemasan ataupun dari disiplin perubatan yang lain setelah disyaki mengalami kemurungan.

Terdapat beberapa hospital seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang menawarkan perkhidmatan 'walk in clinic' di mana pesakit boleh terus mendapatkan perkhidmatan tanpa dirujuk terlebih dahulu.

Saringan dalam talian juga boleh dilakukan oleh individu sendiri menggunakan Depression, Anxiety and Stress Scale (DASS) yang boleh didapati dengan mudah.

Individu tersebut boleh membawa keputusan saringan yang telah dibuat ke klinik kesihatan atau swasta yang berhampiran bagi tujuan penilaian lanjut serta rujukan ke perkhidmatan psikiatri jika perlu.


Kaitan Penyakit Kemurungan dengan tahap keimanan seseorang


Perlulah kita ketahui bahawa penyakit kemurungan dan tahap keimanan seseorang adalah dua perkara berbeza. Seringkali masyarakat mengaitkan penyakit kemurungan dengan tahap keimanan seseorang.

Saudara / saudari sekalian, kemurungan adalah satu penyakit sama seperti penyakit kanser, athma, sakit jantung dan lain-lain. Adakah penyakit-penyakit seperti kanser berkait tahap keimanan seseorang? Tidak sama sekali. Begitu juga dengan penyakit kemurungan. Ianya perlukan rawatan yang bersesuaian. 

Bantulah mereka yang mempunyai masalah kemurungan dengan membawa mereka mendapatkan rawatan bersesuaian.



Terima kasih kerana membaca. Anda dialu-alukan untuk tinggalkan komen dan kongsikan artikel ini untuk perkongsian ilmu. Jemput klik >>disini<< untuk follow Blog Bonda Chanteq.

2 comments:

  1. Jangan buat main dengan penyakit kemurungan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu...kemurungan boleh terjadi kepada sesiapa sahaja

      Delete

Powered by Blogger.