Terima Panggilan Dari Mahkamah, Disaman Kerana Berhutang Dengan Bank? Kenal Pasti Modus Operandi Scam Call.....|  Pagi-pagi setiba ditempat kerja, Bonda telah menerima panggilan dari adik yang bekerja di Kuala Lumpur. 

Isunya kali ini adalah staff beliau telah menerima panggilan dari Mahkamah berkenaan sejumlah hutang. Staff adik tadi panik dan ketakutan. Oleh kerana Bonda punya pengalaman bekerja dengan sebuah bank dan pernah bekerja dipejabat peguam, juga mempunyai sedikit pengetahuan tendang undang-undang, maka adik mendapatkan pandangan dari Bonda kerana tidak sampai hati melihatkan staff dia yang panik dan ketakutan.

(Pengalaman Staff Adik)
Kes 1: Panggilan dari Mahkamah Terengganu.

Mahkamah : Selamat pagi, ini En. xxxxxxx bin xxxx? Nombor Ic En. 91xxxx-xx-xx.

En. X: Iya. Berkenaan apa ya?

Mahkamah: Saya membuat panggilan dari Mahkamah Terengganu berkenaan tunggakan hutang kad kredit encik yang berjumlah RM16,000.00 bersama bank ABC. 

En. X: Betul ke ni? Saya tak pernah ada kad kredit dengan bank tu.

Mahkamah: Jika begitu, kad pengenalan encik telah digunakan untuk permohonan kad kredit ini. Kad ini telah dikeluarkan pada 19 April 2019 dan credit yang telah digunakan adalah sebanyak RM16,000.00 dan ianya telah tertunggak selama 6 bulan.

Encik dikehendaki menjelaskan keseluruhan tunggakan tersebut sebelum jam 10.00 pagi. Sekiranya encik gagal melunaskan keseluruhan tunggakan, laporan polis akan dibuat dan nama encik akan disenarai hitamkan didalam CRRIS.


(Pengalaman Sendiri)
Kes 2 : Panggilan dari Jabatan Saman Mahkamah Kuala Lumpur.

Mahkamah : Ini Cik xxxx binti xxxxx? Nombor kad pengenalan Cik xxxxxx-xx-xxxx. 

Bonda: Berkenaan apa ya?

Mahkamah : Cik mempunyai tunggakan hutang di syarikat ABC berjumlah RM13,000.00. Sila jelaskan segera tunggakan tersebut. Jika tidak tidakan saman ini akan diteruskan dan cik akan didakwa dimahkamah.


(Pengalaman anak sendiri)
Kes 3 : Panggilan dari Mahkamah Kuala Lumpur

Mahkamah : Ini En. xxxxxxxxx bin xxx? Nombor kad pengenalan en. xxxxxx-xx-xxxx. Encik mempunyai tunggakan hutang sebanyak RM10,000.00.

Pembaca sekalian, ini adalah sebahagian contoh 'SCAM CALL' yang dibuat oleh scammer-scammer untuk mendapatkan duit dengan jalan mudah. Sekiranya kita panik dan gelabah, scammer-scammer ini akan memainkan peranan mereka untuk memperdaya.



Kenal Pasti Modus Operandi Scam Call

Bonda kongsikan beberapa tips untuk mengenal pasti Modus Operandi Scammer.

1. Panggilan dari Mahkamah tetapi menggunakan Nombor telefon bimbit.

- Modus Operandi para scammer ni kebiasaannya menggunakan nombor telefon bimbit. Tidak ada mana-mana jabatan kerajaan di Malaysia menggunakan nombor telefon bermula dengan 019, 016, 011, 013 dan sebagainya.

Jika mendapat panggilan dari nombor-nombor tersebut dan memberitahu itu panggilan dari mahkamah, tamatkan sahaja kerana ianya akan membuatkan anda panik.


2. Maklumat seperti nama dan nombor kad pengenalan

- Kebiasaannya scammer ni akan sebut nama kita dan nombor kad pengenalan kita memang 100% tepat. Kenapa boleh jadi macam tu? Itu adalah kerana pihak ketiga telah menjual maklumat peribadi kita kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ini. 

Dengan memberitahu nama dan nombor kad pengenalan dengan tepat itu akan dapat menyakinkan anda bahawa panggilan itu benar dari mahkamah.


3. Mahkamah tidak akan menelefon pihak-pihak yang disaman.

- Untuk pengetahuan anda semua, pihak mahkamah tidak akan menelefon pihak yang akan disaman dan memberitahu secara verbal bahawa anda disaman. 

Saman hanya akan dihantar oleh kakitangan mahkamah atau penghantar saman secara serahan tangan 'by hand'. 


4. Permohonan kad kredit menggukan cap jari

- Antara modus operandi scam call, dia akan bagitau kad pengenalan anda telah digunakan oleh pihak ketiga untuk memohon kad kredit dan menggunakan  kad kredit tersebut sehingga maksimum dan tidak membuat sebarang bayaran sehingga dikenakan tindakan saman.

Untuk pengetahuan anda, sekarang ni zaman teknologi. Permohonan kad kredit adalah dengan menggunakan kad pengenalan anda dimasukkan ke peranti dan cap jari anda yang di 'scan' di peranti tersebut yang 'online' dengan data kwsp dan juga JPN. Apabila cip kad pengenalan dikenalpasti dan cap jari anda discan, satu salinan penyata kwsp dan juga salinan kad pengenalan anda akan dicetak dari peranti berkenaan.

Jadi, adalah sesuatu yang tidak masuk akal sekiranya diberitahu bahawa kad pengenalan anda telah digunakan oleh pihak ketiga untuk memohon kad kredit dan menggunakan kad kredit tersebut.



5. Scam call akan mendesak and membayar tunggakan untuk elak tindakan saman diteruskan.

- Kebiasaannya scam call ini akan memperdaya dan menyakinkan anda bahawa anda akan disaman dan mungkin dipenjarakan sekiranya gagal untuk menjelaskan tunggakan hutang bank anda.

Apabila berjaya meyakinkan anda, scammer ini akan mengarahkan anda untuk membuat bayaran ke dalam akaun bank yang diberikan. 


Apa tindakan yang perlu anda buat sekiranya menerima scam call.

1. Jangan panik
- Pertama sekali, jangan panik apabila dapat panggilan dari mahkamah yang menyatakan anda disaman. Anda perlu bertenang. Tetapi jangan sesekali mendedahkan data peribadi anda. Tidak ada mahkamah yang membuat panggilan peribadi berkenaan tindakan saman.


2. Matikan panggilan
- Sekiranya panggilan tersebut mencurigakan, tamatkan sahaja panggilan tersebut kerana lebih lama anda melayan pemanggil tersebut, ianya memberi lebih peluang untuk mereka meyakinkan anda tentang tindakan saman terhadap anda.


3. Jangan buat tindakan melulu
- Jangan buat tindakan yang melulu dengan mengikut arahan scam call tersebut sekiranya anda tidak mahu kerugian.


4. Jangan risau
- Anda tidak perlu risau tentang panggilan-panggilan ini. Sekiranya benar ada saman yang dikenakan kepada anda, pihak mahkamah akan menghantar saman terus ke kediaman anda.

Berhati-hatilah anda semua terhadap scam call yang mungkin memperdayakan anda dan membuatkan anda kerugian beribu ringgit.




Terima kasih kerana membaca. Anda dialu-alukan untuk tinggalkan komen dan kongsikan artikel ini untuk perkongsian ilmu. Jemput klik >>disini<< untuk follow Blog Bonda Chanteq.